Thursday, March 11, 2010

Jangan Jadi Fitnah Kepada Parti Kalian.


Khas untuk yang menukar kalimah takbir kepada take beer


Saya tidak pasti kalian belajar dari mana sehingga kalian rasa boleh untuk mempersendakan kalimah takbir sehingga menukarkannya kepada benda haram seperti beer. Saya cuba memahami latar belakang kalian dengan bertenang dan menganggap kalian dalam keadaan tidak mengetahui apabila melakukan perkara ini.

Saya hendak menjelaskan di sini bahawa, kalimah takbir itu adalah kalimah mulia di dalam Islam. Bila dilaung takbir, orang akan pantas menyahut: “Allahuakbar” yakni bermaksud Allah Maha Besar. Inilah dia lafaz kemuliaan. Dilaungkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat semasa peperangan, semasa kegembiraan.

Maka sekiranya kalian mempersenda-sendakan kalimah itu, tidakkah kalian melihat bahawa kalian ini sedang mempersendakan siapa? Kalian hakikatnya sedang mempersendakan Allah, Tuhan saya, Tuhan orang Islam, Tuhan kepada seluruh alam ini. Dan jika kalian beragama Islam, anda telah mempersendakan pula Tuhan anda sendiri.

Saya tidak nampak, bahawa alasan: “Saya nak kutuk parti lain” boleh menjadi lesen sehingga mencipta kutukan sebegini kurang ajar untuk Allah SWT. Kenapa memasukkan Allah dalam pergaduhan politik kalian? Adakah kalian ingat, takbir itu hak satu-satu parti?

Ketahuilah, takbir itu hak seluruh ummah Islam.

Saya ingin tanya kamu yang menukar takbir kepada take beer ini, kamu hendak apa sebenarnya? Hendak menang sorak kemudian mendapat murka Allah?

Marilah kita sama-sama bertaqwa kembali kepada Allah SWT.

Sesungguhnya Allah SWT itu keampunan-Nya amat luas.

Belum terlewat untuk kita tunduk memohon ampun atas keterlanjuran kita terhadap-Nya.


Politik juga adalah satu ibadah


Kita perlu faham bahawa, politik juga adalah satu ibadah. Politik adalah satu perkara mubah yang pada satu tahap boleh menjadi wajib. Maka, jika kita menjalankan politik dalam lingkungan yang dibenarkan syara’, dengan adab-adab yang dibenarkan syara’, ditambah pula dengan niat yang ikhlas, maka jadilah politik itu satu ibadah.

Maka jangan kita cemari ibadah ini dengan carut-carutan yang merosakkan ibadah kita. Jangan kita isi dengan perkara-perkara hodoh dan tidak bermoral seperti mengedit gambar pemimpin parti lawan menjadi gambar-gambar tidak elok. Jangan sampai masuk mencaci maki agama.

Laksanakan politik dengan adab. Biar kamu wahai yang berkecimpung dalam medan politik, yang aktif dalam arena politik, yang katanya hendak membantu parti masing-masing, yang katanya berjuang dengan perjuangan masing-masing, mampu menjadi contoh kepada rakyat seperti saya.

Pesan saya, jangan sesekali kita bawa fitnah pada kumpulan kalian.

Jangan kerana kita, perjuangan kumpulan yang kita sertai itu rosak.

Tetaplah kalian pada ajaran Allah SWT.

Sesungguhnya yang benar hanyalah mereka yang mentaati-Nya.

“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan bagi umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.” Surah Ali Imran ayat 110.


Ini untuk yang terlibat sahaja. Yang tidak terlibat, jangan sesekali terasa


Saya harap, tiada sentimen assobiyah, perkauman, kepartian di sini. Saya hanya menegur yang terlibat, dan tidak pula menyentuh yang tidak terlibat. Tidak pula saya rendah-rendahkan mana-mana parti di Malaysia ini. Juga tidak saya sebut mana-mana nama untuk rujukan. Tidak pula saya dedahkan siapa pengucap carut-carutan dan siapa pula yang mengucap take beer ini.

Artikel ini umum, saya menulis, adalah atas rasa tanggungjawab betapa perlunya kalian yang katanya berjuang untuk parti-parti kalian, menjaga nama baik parti masing-masing dan menjaga kebersihan perjuangannya dengan membersihkan peribadi kalian. Pokok artikel saya adalah, syakhsiah kita memberikan impak yang besar kepada perjalanan parti kita. Saya juga berhajat memberikan kefahaman kepada yang menukar kalimah takbir kepada take beer, kerana ada kemungkinan mereka tidak megetahui letak taraf kalimah takbir itu.

Saya senang anda membaca artikel ini dengan rasional dan tenang.

Mudahnya, saya sebenarnya hendak mengajak kalian untuk membayangkan, apabila orang melihat sikap buruk kalian. Orang akan berkata:

“Tak sangka ya, parti tu perangai dia macam itu”

Ya, kita boleh kata pada yang berkata itu begini: “Mana boleh nilai parti dengan hanya seorang sahaja”

Tetapi agaknya, berapa ramai yang berfikiran macam kalian fikir? Orang tiada masa. Kalianlah yang menjadi perhatian. Sebab itu, kalau kalian perasan, Rasulullah SAW berpesan kepada ummat Islam untuk menjaga diri masing-masing. Hal ini kerana, orang-orang Islam adalah imej kepada Islam. Islam itu sempurna, tidak salah. Tetapi apabila ada orang Islam yang merosakkan imej itu, kesempurnaan Islam juga tercalar di mata manusia.

Begitulah kalian dengan parti kalian.

Kalian bertanggungjawab menjaga imej parti kalian.


Penutup: Pesan saya, kembalilah kepada Allah SWT


Ittaqullah, uusiikum wa nafsi bittaqwallah. Ayat ini sering kali diulang semasa khutbah jumaat di Malaysia. Maksudnya: “Bertaqwalah kepada Allah, aku mewasiatkan diri kalian dan diriku dengan ketaqwaan kepada Allah”

Inilah pesan saya untuk diri saya dan kalian. Marilah sama-sama kita kembali kepada Allah SWT dalam segenap hal yang kita lakukan, hatta dalam arena politik. Jangan hanya kita canangkan Islam itu, Islam ini, tetapi tidak pula kita mempraktikkannya.

Jangan sesekali kita mempolitikkan agama. Sesunggunya politik itu sendiri perlu tertakhluk di bawah agama, peraturan Allah SWT. Barulah politik itu mampu kita jalankan dengan baik, adil dan saksama.

Mari sama-sama, kita reflek diri kita.

Masalah ummat Islam dari dulu sampai sekarang hanya satu.

Kesatuan.

Sampai bila agaknya perkara ini mesti berpanjangan?

Sedangkan yang untung dari perbalahan ini hanyalah musuh-musuh Allah yang mengintai-intai peluang kemenangan.

Sumber: http://ms.langitilahi.com/semasa-jangan-jadi-fitnah-kepada-parti-kalian/

No comments:

Post a Comment